Saturday, 1 December 2012

Prolog


Cepat! Sudah pukul 6.30 pagi, sebentar sahaja lagi mentari pagi akan menyinar. Rosak pula rancangan! Masdiana Idayu tergesa-gesa menyumbat beberapa pasang pakaian Amyra Adrya dan pakaiannya ke dalam sebuah beg besar. Segala dokumen penting juga jangan sampai tertinggal! Masdiana tahu di waktu ini ‘Along-along’ itu pasti tengah membungkam.
Mustapa, Lelaki Jawa itu juga, turut mengemas bajunya. Masdiana menjelingnya, namun tidak berdaya untuk berkata apa-apa.

“Zura, Maksu dah siap ni,”

“Ya, sekejap.” Masdiana segera mematikan telefon bimbitnya dan mengarahkan Amyra supaya keluar rumah dengan segera.

Zura, anak saudara lelaki Masdiana akan membawa mereka bertiga keluar dari situ. Zura tinggal selang beberapa buah rumah sahaja daripada rumah sewa Masdiana ketika itu.

“Ya Allah Ya Tuhanku, kau lindungilah kami dari segala mara bahaya, Amin Ya Rabbal alamin” Masdiana meraut mukanya. Wajahnya pucat dan keresahan. Namun Lelaki jawa itu hanya tenang dan bersahaja, pada dia seolah-olah tiada apa yang sedang berlaku.

“Nak hantar ke mana ni?”

“Kau hantar saja kami, ke jalan menuju ke Air Hitam, jangan hantar ke stesen bas, Maksu bimbang kalau-kalau ada konco-konconya sedang memerhati di sana. Biar kami naik bas bersambung-sambung saja sehingga sampai ke Dungun.”

Masdiana benar-benar gelisah. Lelaki Jawa itu membisu. Amyra hanya diam dan sedia mengikut perintah ibunya.

“Berhenti saja di hadapan sekolah tu, lebih selamat”

“Baiklah, Maksu jangan lupa kirim salam kepada mak dan ayah saya ya? Jalan elok-elok, semoga selamat sampai” Zura bersalaman dengan Lelaki Jawa itu dan meninggalkan mereka bertiga di situ.

“Sudahlah Mus, kau janganlah ikut aku lagi, sampai di sini sajalah hubungan kita, pergilah kepada isteri dan anak-anak kau Mus, mereka pasti masih boleh menerima kau semula" Masdiana cuba memujuk Mustapa dengan lembut.

“Apa? Kau halau aku ya?” Mustapa menyepak beg pakaian Masdiana dengan sekuat hatinya, sehinggakan terpelanting hampir ketengah jalan. Mujur tidak ada kereta yang lalu.

Masdiana sempat mengambil beg pakaiannya kembali. Amyra memeluk Masdiana, tetapi tidak menangis. Ketika itu usia Amyra sembilan tahun. Terkebil-kebil mata Amyra memandang wajah bapanya. Watak begis seorang Lelaki Jawa yang bermisai tebal itu benar-benar membuatkan dada Masdiana berdegup kencang. Darah Masdiana menyirap! Masdiana diam. Dia bimbang kalau-kalau ada orang yang akan perasan gelagat mereka ketika itu. Lagi pun mereka berada di hadapan kawasan sekolah.

"Biarlah! Bersabar saja, nanti di suatu hari kau akan tahu juga siapa Masdiana" getus hati kecil Masdiana.

Masdiana menahan bas menuju ke Air Hitam, Masdiana duduk sebangku dengan Amyra, manakala lelaki Jawa itu duduk sendirian. Masdiana membayar tiket untuk mereka bertiga. Memang Lelaki Jawa itu tidak berduit! Habis buat bayar hutang ‘Along’! Masdiana menjeling Lelaki Jawa itu dengan perasaan panas hati. Jika terjadi apa-apa kepada Amyra, memang Masdiana tidak teragak-agak akan membunuh Lelaki Jawa itu! Masdiana peduli apa? Lelaki Jawa itu memang tidak bertanggung jawab, merosakan masa depannya dan Amyra. Sanggup meninggalkan anak dan isterinya sendiri dan mengikut telunjuk syaitan! Masdiana benar-benar marah. Tetapi pada masa itu, dia masih belum ada peluang untuk bertindak, walaupun dia mulai sedar. Sedar daripada perbuatan sihir Lelaki jawa itu.

*****
Malam itu juga, mereka sampai di Bandar Dungun.

“Abang Leh, boleh datang ambil kami sekarang tak?”

“Tunggu di rumah Mona ya, satu jam lagi, Abang Leh sampai." Setelah mematikan telefon bimbit, Masdiana menuju ke rumah anak saudara perempuannya itu, di flat Bijangga Dungun.

Mustapa tidak ada langsung perasaan malu. Pada dia, ilmu sihir yang sedang dituntut dan diamalkannya itu akan dapat menarik kasih sayang keluarga Masdiana terhadapnya. Memang benar! Seluruh keluarga Masdiana tertarik dengan kelembutan budi bahasa Mustapa dan kasihan kepada Lelaki Jawa itu seorang sahaja.
Pelik! Semua anak-anak saudara yang lain menjadi dingin dan benci kepada Masdiana. Mereka semua menganggap perniagaan Lelaki Jawa itu hancur kerana Masdiana. Ya Allah! Hanya Allah sahaja yang tahu betapa selama ini, Masdiana tersiksa dan tertekan di dalam neraka ciptaan Lelaki Jawa itu.

Sebaliknya perniagaan kedai jahit Masdiana pula, terpaksa gulung tikar, hutang bank sebanyak 12 ribu juga, terpaksa Masdiana tanggung sendirian, sedangkan Lelaki jawa itu yang kebas duit, untuk perniagaan ikannya. Apabila pusingan wang tidak cukup, Lelaki Jawa itu dengan mudahnya mempergunakan Masdiana sebagai penjamin, sewaktu membuat pinjaman daripada ‘Along’.

‘Along’ memang bijak, mereka hanya mahu menjerat peniaga-peniaga kecil dan akan mematikan perniagaan mereka saja. Apabila peniaga habis modal pusingan mereka akan menawarkan pinjaman dari kalangan mereka sendiri sehingga terjerat dengan ramai ‘Along’. Setiap hari dari jam 8.00 pagi sehingga jam 12.00 malam, ‘Along-along’ itu akan mengawasi pergerakan Masdiana dan Mustapa. Rimas sungguh!

Masdiana dan Amyra menjadi mangsa ugutan ‘Along-along’ itu saban hari, sedangkan Lelaki Jawa itu diam bersembunyi di dalam bilik. Masdiana tidak dapat berbuat apa-apa, Masdiana hanya nekad, wang yang tinggal hanya sedikit itu, jangan dihabiskan semua untuk membayar hutang. Dan kini, Masdiana berjaya meloloskan diri dari cengkaman ‘Along’.

Di Dungun, Masdiana akan menumpang sementara di rumah kakak dan abang iparnya. Semuanya sudah dimaklumkan terlebih dahulu. Felda Jerangau adalah tempat yang paling selamat sebagai tempat persembunyian, sebelum mengatur langkah untuk meneruskan kehidupannya yang sukar itu bersama anak kesangannya Amyra.
Lelaki Jawa itu, tidak habis-habis mengekori Masdiana. Dia tidak berdaya untuk memberitahu keluarganya tentang hal sebenarnya. Kalau Masdiana memberitahunya saat itu, pasti keluarganya tidak akan percaya! Lebih-lebih lagi Awang.  Tidak boleh! Masdiana tahu benar sikap buruk Awang. Belum sampai masanya lagi. Selama ini, seluruh keluarganya menyangka, dia dan Mustapa benar-benar sudah bernikah.

No comments:

Post a Comment