Saturday, 1 December 2012

BAB 1 ~ Di tempat kerja Amyra Adrya.




Tong!!... Pintu kaca 'Butik Permata' ditolak dari luar. Amyra Adrya tersentak dari lamunannya.

Sedari tadi Amyra sedang menyusun koleksi baju-baju baharu, yang baru sampai di butik tersebut, satu persatu diperhatikan. Amyra berangan-angan seandainya kesemua pakaian cantik tersebut miliknya, alangkah bertuahnya. 

Seorang pemuda tinggi lampai, berambut pendek dan berpakaian kemas masuk. Amyra mengamati pemuda tersebut. Dari wajahnya yang tampan dan bergaya itu, dia bukanlah sembarangan orang. Buat seketika Amyra terpegun. Dia berhenti menyusun baju-baju tersebut dan meluru ke arah pemuda kacak itu. .


"Selamat pagi encik, boleh saya bantu?" ucap Amyra dengan suara yang lembut merdu.

Mata mereka bertemu seketika. Pemuda kacak itu terpaku. Diperhatikannya susuk tubuh Amyra. Kebaya labuh warna hijau pucuk pisang yang dipakainya kala itu membuatnya kelihatan cukup sempurna. Sepasang mata Amyra yang cantik itu, tidak berkedip apabila ditenung begitu. 

"Encik...di sini ada pelbagai pilihan tudung dan aneka fesyen baju terkini, semuanya direka khas oleh pemilik butik ini," jelas Amyra lagi memecah kesunyian.

Kebetulan pagi itu Datin Maznah keluar dengan dua orang pembantunya, kerana ada urusan di luar."Myra, jaga butik sekejap ya? lepas tengahari, kami balik semula," pesan Datin Maznah sebentar tadi. 

"Baik, datin..." kata Amyra sambil membuka pintu kaca Butik Permata untuk Datin Maznah. Butik ini entah cawangan yang ke berapa, Amyra pun tidak mahu ambil tahu. 

Butik ini baharu sahaja dibuka tiga bulan lepas, banyak lagi yang perlu ditambah dan disusun, sebab itulah Datin Maznah banyak menghabiskan masanya di butik ini. Butik ini luasnya satu lot kedai sahaja. Di Butik Permata ini, masih memerlukan pekerja. Amyra suka bekerja di butik pakaian, kerana mewarisi minat yang sama dengan ibunya Masdiana Idayu. Masdiana adalah seorang tukang jahit yang mahir. Amyra masih ingat lagi sewaktu dia masih kecil, ibunya pernah membuka kedai jahit di Kulai Besar, Johor. 

"Emm...saya nak beli sehelai selendang untuk bakal tunang saya, kami ada 'dinner' malam esok,” jelas pemuda kacak itu.

"Di sini ada banyak pilihan selendang Encik..."

" Daneal Zul Qarnein... panggil saya Daneal" celah pemuda kacak itu memperkenalkan dirinya.

"Nama you?"  "Amyra Adrya, panggil saya Myra" Amyra tersenyum, sambil menggayakan selendang untuk dipilih Daneal.

“Amyra Adrya? Cantik nama tu.” Amyra tersipu malu apabila dipuji begitu.

"Warna apa yang cantik?" 

"Untuk gadis yang berkulit cerah, warna krim ini memang sesuai, batu permata dan juraian manik-manik di tepi selendang ini menambah lagi kejelitaan, tambahan pula, di waktu malam, pancaran lampu akan menaikkan lagi seri si pemakai, tentu bakal tunang Encik Daneal bertambah cantik" terang Amyra kepada Daneal, seperti dia mahir benar dalam bidang peragaan.

Amyra tersipu sendirian. Kalau pelanggan wanita, susah untuk Amyra melayannya, mereka semua seakan sudah pandai memilih sendiri. Ada yang datang menunjukan lagak. Kadang-kadang melihat-lihat sahaja tetapi tidak membeli. Itukah yang dikatakan 'window shopping?' tanya hati kecil Amyra. Buang masa!.

"Saya ambil yang ini" Daneal memegang selendang berwarna krim, seperti cadangan Amyra tadi. Daneal melihat tanda harga, tanpa meminta diskaun, dia mengeluarkan wang kertas bernilai RM 300.00 kepada Amyra.

"Ini bakinya Encik Daneal, terima kasih, sila datang lagi"ucap Amyra lembut. Jika ada sepuluh pelanggan seperti ini, lama-lama pun Amyra sanggup melayannya dengan senang hati. Amyra tersenyum sendirian.

‘Di mana aku berangan tadi? Kacau betul pemuda itu tadi, hurm… baru bertunang, masih ada peluang, ah! Layakkah aku?’ Amyra bertanya-tanya sendirian, sambil meletakkan sehelai gaun kuning air ke tubuhnya. Anggun!.

Amyra tidak lepas-lepas memandang dirinya di cermin itu, dia membayangkan lelaki kacak itu berada di sebelahnya. Gila! Bekerja atau hendak berangan, kalau hendak berangan baik balik saja. Amyra tersenyum-senyum sendirian.

“Laparnya!” Amyra menekan-nekan perutnya.
“Patutlah aku terasa lapar, sudah pukul 1.30 petang, mana pulak Datin Maznah ni?” rungut Amyra lagi. Amyra menyusun baju-baju itu cepat-cepat sebelum Datin Maznah kembali semula.

No comments:

Post a Comment