Saturday, 1 December 2012

BAB 3 ~Tidak bertepuk sebelah tangan.




Datin Maznah menjemput semua pekerja di syarikatnya ke majlis yang sederhana itu. Ada yang membawa ahli keluarga masing-masing. Dalam kesibukan itu, Datin maznah sempat juga beramah mesra dengan tetamu yang hadir. Tetamu menjamu selera sambil berbual, sesekali kedengaran gelak ketawa. 

Amyra Adrya, menjamah hidangan dengan perlahan. Kemana melayang fikirannya, menerawang, menggangtang asap, sehinggakan tidak mendengar perbualan rakan-rakan semeja. Dia khayal dalam lamunan yang direka-rekanya sendiri. Sesekali Amyra mencuri pandang kepada Daneal yang duduk di meja hadapan. Namun wajahnya yang disimbahi cahaya lampu led di celah-celah pokok hiasan, jelas kelihatan. Amyra berdebar dan cemburu; terasa panas dadanya, apabila melihat kemesraan Deera. Amyra terasa pelik, kenapa dia mesti cemburu. Puas dia bertanya-tanya di dalam hatinya. Sudu dan garfu bermain-main di atas steak, tidak disuapkan ke mulut, bahkan ditusuk-tusuknya berkali-kali. Amyra melayan perasaannya sendiri.

Lebih kurang pukul 11.00 malam, para tetamu semakin beransur untuk pulang. Dato' Zakaria dan Datin Mariam juga turut memohon diri. 
 "Daneal, mama balik dulu ya, jangan balik lambat; dan jangan nakal-nakal tau," Datin Mariam menjeling tanda amaran kepada anak tunggal kesayangannya. Setelah bersalaman, mereka pun berlalu.

"Datin, Deera, Myra pun nak balik dulu ya, ibu Amyra ada di rumah seorang tu," jelas Amyra kepada Datin maznah.

"Eh, kenapa tidak ajak ibu Myra sekali tadi, dapat juga berkenalan, tunggu sekejap ya, Myra..." 
Datin Maznah pandai menjaga hati pekerja-pekerjanya kerana pada pendapat beliau, untuk mencari pekerja yang baik bukan senang sekarang ini, tambahan lagi gadis-gadis sekarang lebih suka memilih kerja. Pekerja baginya adalah 'asset' penting dalam sesebuah syarikat itu. Pekerja yang didikasi dan tekun dalam pekerjaannya akan membuatkan syarikat untung berlipat kali ganda.

"Mak Mah, tolong bungkuskan makanan untuk Amyra bawa pulang ya... oh ya, Mak Mah ada nampak Deris?." Tanya Datin Maznah.

Dari tadi lagi Datin Maznah tidak nampak batang hidung Deris, pemandunya.

"Maaf Datin, Mak Mah terlupa nak bagitahu Datin, Deris ada bagitahu Mak Mah, dia terpaksa pulang, sebab isterinya sakit hendak bersalin. Agaknya dia ke hospital, mungkin Deris tak nak ganggu Datin, sebab itu dia tidak bagitahu Datin. lagipun Deris tergesa-gesa tadi." Kata Mak Mah sambil meminta maaf.


Semua tetamu mengucapkan terima kasih kepada Datin Maznah dan memohon diri untuk pulang. Ada yang datang dari jauh, yang mana bekerja di cawangan-cawangan di luar Kuala Lumpur. Ada juga yang menghantar wakil. Sebab itulah rakan serumah Amyra pun terpaksa keluar daerah untuk menggantikan tempat di cawangan-cawangan yang belum cukup pekerja buat sementara waktu. Jawatan-jawatan kosong telah pun diiklankan di dada akhbar untuk memenuhi kekosongan pekerja di beberapa cawangan Butik Permata milik Datin Maznah di seluruh negara.

"Deera, Aunty, Daneal pun ingin meminta izin untuk pulang, nanti apa pulak kata mama," kata Daneal sambil menghadiahkan senyuman untuk bakal tunangnya.

"Daneal, Pak Deris dah balik, boleh tak, Daneal tolong tumpangkan Amyra kerumah pekerja di jalan Melati?" Tanya Datin Maznah kepada Daneal.

Dada Amyra berdegup kencang. Sekali lagi mukanya pucat. Cahaya lampu led berwarna hijau di situ dapat menutup wajah kelat Amyra saat itu.

"Aduh..macamana ni," detik hati kecil Amyra.

 "Tak apalah Daneal, pergilah, hantarkan Amyra, kasihan dia, dah malam ni, Deera dah penat sangat," Deera memegang tangan Daneal dengan mesra. 
Setelah bersalaman dengan semua, Amyra dipelawa Daneal masuk ke kereta. Pertama kali Amyra melihat kereta sebegini cantik. Model Mercedes Benz dua pintu, warna hitam. Apatah lagi untuk menaikinya. Sungguh bertuah dirasakannya pada malam ini. Macam dalam cerita Cinderella pula layaknya. Amyra tersenyum simpul. Perasan. Daneal membuka pintu untuk Amyra dan mempersilakan Amyra naik dengan mesra. Ternyata Daneal seorang yang sungguh romantik. Pandai ambil hati dan pada dirinya ada segala-galanya. Bertuah sungguh kepada sesiapa yang dapat memiliki Daneal.

Daneal memasuki kereta, seiringan enjin kereta dihidupkan, hati Amyra bergemuruh lagi, bagaikan petrol yang sedang mendidih. Malam yang pekat dan sejuknya penghawa dingin tidak terasa oleh Amyra. Hebat sungguh getaran perasaannya. Bertepuk sebelah tangan akan membuatkan dia kecewa; Amyra tahu itu. Sudah berkali-kali dia memujuk hatinya bahawa, dia tidak layak untuk Daneal. Daneal tidak akan memandangnya walaupun sebelah mata, Amyra yakin itu. Amyra malu untuk menatap wajah Daneal.

"Myra, kenapa dengan awak?, awak takut ke?" Terpacul soalan Daneal membuatkan Amyra tersentak dari lamunan. 

"Ti, tidak ada apa-apa..." jawab Amyra gugup.

Daneal tidak lepas-lepas memandang Amyra.

"Cantik dan menawan.” Detik hati kecil Daneal. Ramai gadis yang pernah dia jumpa, namun kecantikan Amyra sungguh berbeza sekali. Ada tarikan magnetik. Pertama kali dalam sejarah, Daneal membawa keretanya begitu perlahan. Supaya lambat sampai dan dapat menatap wajah Amyra sepuas-puasnya.

 "Berhenti di sini, Encik Daneal, sudah sampai.” 
Daneal memberhentikan kereta mewahnya.

"Amyra, saya suka awak..." 
"Astaghfirullahal 'Azdim...." ucap Amyra perlahan, berkali-kali. 

"Tidak mungkin." Bisik hati kecilnya. 

"Izinkan saya keluar dulu Encik Daneal..."

Daneal dengan pantas membuka pintu kereta buat gadis cantik yang sedang mencuri hatinya.

"Nanti kita jumpa lagi," pinta Daneal sambil menghulurkan sekeping kad kecil.

Amyra segera masuk ke halaman rumah teres dua tingkat, khas untuk pekerja itu, tanpa menoleh kepada Daneal. Dia benar-benar malu dan gementar kerana tidak menyangka sama sekali bahawa dia kini tidak bertepuk sebelah tangan.

No comments:

Post a Comment