Hari ini, Sabtu. Butik Permata akan
dibuka sehingga jam 5.00 petang.
"Myra, petang nanti jangan lupa ke
rumah saya, bantu anak saya mana yang patut, pukul 6.00 petang, pemandu saya
akan datang jemput awak..." kata Datin Maznah mengingatkan Amyra.
Datin Maznah menjemput semua kakitangan
syarikatnya untuk meraikan anak tunggalnya Farra Adeera yang baru saja tamat
pengajiannya di luar negara. Farra Adeera sangat meminati bidang ' business
study', sebab itu, tidak hairanlah jika gadis manis itu berjaya membawa pulang
segulung ijazah. Datin Maznah yakin Deera akan dapat mengambil alih
perniagaannya nanti. Selepas itu bolehlah dia bersara.
"Ibu, Myra pergi dulu ya, kereta
pun dah sampai tu..." Amyra bersalaman sambil mencium tangan dan pipi
ibunya.
"jaga diri dan tingkah laku
baik-baik, di rumah orang, jaga maruah kita." Masdiana memberi peringatan
kepada anaknya.
Amyra Adrya mengenakan sepasang baju
kurung Pahang berwarna biru muda. Dipadankan pula dengan sehelai selendang yang
dililit kemas. Dibiarkan sedikit hujung selendang yg bermanik halus itu
terjuntai di pipi sebelah kirinya. Pin berbentuk bintang disemat kemas di
tepinya supaya lebih menarik. Tona warna berbeza antara biru gelap dan biru
cerah itu berselang seli, menaikkan lagi seri wajah Amyra. Bibirnya dicalit
gincu berwarna oren muda. Pembayang matanya pula berwarna biru gelap
gemerlapan.
Semua alat solek itu kepunyaan ibunya.
Amyra belajar cara-cara mengenakan pembayang mata dan pemerah pipi daripada ibunya.
Setelah Amyra pergi, Masdiana berdoa kehadrat Ilahi, semoga semuanya selamat.
Banglo tiga tingkat milik Datin Maznah
tersergam indah.
"wah!...indah sungguh mahligai
ini....bisakah aku mendapatkannya..." bisik hati kecil Amyra. Dia terasa
begitu kerdil di situ. Dia mencuri pandang di kiri dan kanan kawasan banglo
mewah itu.
" Cik Amyra, mari Mak Mah tunjukkan
bilik Cik Puan Farra Adeera..." Amyra segera mengikuti Mak Mah, salah
seorang orang gaji Datin Maznah yang paling lama dan dipercayai. Sepasang mata
Amyra sempat berlegar-legar menghayati beberapa sudut di dalam banglo itu, yang
rata-ratanya dihias indah
"Ini biliknya Cik Amyra..."
Mak Mah berkata sambil mengetuk pintu bilik Farra Adeera. "Masuk..."
terdengar suara yg tegas tetapi lembut, mempelawa. Mak Mah meninggalkan mereka
berdua memperkenalkan diri masing-masing.
"hurm...cantik jugak, pembantu
kedai baru mama ni," sambil menghadiahkan senyuman manis kepada Amyra.
Amyra terasa lapang dada dengan keramahan anak majikannya itu.
"Cik Farra tentulah lebih
cantik...lihatlah gaun coklat muda ini sesuai sekali dengan selendang berwarna
krim ini," puji Amyra ikhlas.
" Bakal tunang saya yang hadiahkan
kepada saya semalam, katanya sesuai jika dikenakan dengan gaun ini, cantik
tak?" tanya Adeera.
Amyra teringat, sewaktu Daneal memilih
selendang itu di Butik Permata, kelmarin. Muka Amyra menjadi pucat. Tidak tahu
kenapa. Dadanya berdegup kencang.
"Astaghfirullahal'Azdim" ucap
hati kecil Amyra supaya bertenang.
"Sungguh padan sekali cik Puan"
puji Amyra lagi.
"Ala, tak usahlah bercik-cik dengan
saya, panggil jer Deera, kan lebih mesra," Sambil memegang erat kedua-dua
belah tangan Amyra.
Amyra merenung dengan kagum keanggunan
wajah anak gadis Datin Maznah yang berusia awal dua puluhan itu. Wajah ayunya
disolek dengan warna 'natural'. Menyerlahkan lagi kejelitaannya.
Di halaman rumah, meja-meja berbentuk
bulat telah diatur cantik. Meja-meja itu dialas dengan kain berwarna ungu.
Kerusinya pula disarung dgn kain putih dan diikat dengan reben warna ungu.
Cantik. Belon-belon berwarna ungu dan putih dijadikan pintu gerbang.
Jambangan-jambangan bunga segar dan lampu-lampu neon berwarna-warni menambah
keindahan pada malam itu. Pembesar-pembesar suara diletak di beberapa sudut
penting. 'DJ' dijemput khas untuk memeriahkan lagi majlis itu.
Sudah ramai tetamu yang mula hadir.
Datin Maznah sibuk melayan tetamunya. Lilin yang dipasang di setiap meja
menjadikan suasana malam itu sungguh romantik. Karangan bunga mawar merah dan
putih menggamit tetamu supaya duduk.
"Aunty, boleh Daneal berjumpa Deera
sekejap?" tanya Daneal, kerana dari tadi dia tidak nampak pun kelibat
bakal tunangnya. Dia resah. Tidak sabar untuknya menatap wajah Adeera pada
malam itu.
"Silakan...Deera ada di
biliknya," Datin Maznah mengizinkannya.
Dengan pantas, Daneal menghayun
langkahnya menuju kebilik bakal tunangnya. Bilik Farra Adeera di tingkat satu,
dari atas 'balcony', akan nampak jelas pemandangan kolam ikan, kolam renang dan
hiasan taman di halaman banglo itu.
Tok..Tok..! Pintu bilik Deera diketuk
perlahan. Deera kenal benar dengan gaya ketukan itu. Deera tersenyum simpul
lalu meluru ke muka pintu. Pintu biliknya dikuak cepat.
"Sayang...! kenapa lambat..!?"
rengek Deera mesra.. Jemari mereka pun bertaut.
Amyra terpegun sebaik-baik Daneal
memusingkan tubuhnya bila terasa ada orang lain yang turut hadir di kamar itu.
Lelaki itu! Lelaki yang mendapat layanan istimewanya ketika di butik hari itu.
Tetapi kenapa dia harus berasa gugup dan goyah. Perlukah perasaan itu? Apapun
Daneal tidak sempat memerhatikan Amyra kerana terpaksa fokus melayan gelagat
manja Adeera.
Ah, alangkah anggunnya tampang sepasang
kekasih itu! Sungguh padan. Sama-sama tinggi lampai. Farra Adeera berkacukan
Inggeris Melayu, berhidung mancung dan berkulit putih bersih. Daneal Zulkarnain
yang segak mengenakan suite hitam, bagaikan seorang model yang sering terpapar
di halaman-halaman majalah. Daneal masih tidak sedar dirinya diperhatikan
Amyra.
"Ehem!Maaf, tumpang lalu, saya
ingin ke bawah sebentar."
Daneal, tersentak seketika. Baru
perasan. "Myra," bisik hatinya. "Cantiknya" hati kecil
Daneal berbisik memuji-muji. Berbeza sekali penampilan gadis itu ketika
ditemuinya di butik dulu.
Sepasang mata galak Daneal, memerhati
gerak lengguk Amyra. Amyra adalah gadis kacukan Melayu Jawa. Berkulit kuning
langsat.
"Sayang..!" sergah Adeera.
Daneal tersentak dari lamunannya.
"Siapa tu?". Daneal pura-pura
bertanya.
"Ala..dia tu pembantu butik mama...
jom! turun..." ajak Adeera.
Fikiran Daneal masih tertumpu kepada
Amyra. Dia tidak tahu kenapa. Hati dan fikirannya tidak lepas-lepas
terbayangkan wajah Amyra.
Di dalam bilik air, Ameera seperti mahu
menangis. Dadanya berdegup kencang. Adakah dia cemburu?. Tidak mungkin.
Siapalah dirinya.
Amyra teringat kata-kata ibunya, "
jaga tingkah laku dan adab sopan di rumah orang, Jaga Maruah".
Amyra membetulkan pakaian dan tudungnya.
Amyra cuba mengukir senyuman di cermin. Kaku terasa. Senyuman yang tidak
ikhlas. Dia cuba juga, keluar dari tempat persembunyiannya itu. Sebaik sahaja
Amyra melangkah keluar, tiba-tiba dari jauh, Amyra ternampak dua sejoli itu
menuruni anak tangga satu persatu seperti puteri dan putera raja.
Gaun labuh Deera yang meleret menambah
lagi keanggunan. Kali ini Amyra benar-benar rasa cemburu, apabila melihat
mereka berpegangan tangan seiringan. Para tetamu pun turut mencuri pandang dan
berbisik-bisik. Dato' Zakaria dan Datin Mariam tersenyum megah. Amyra masuk
kembali ke dalam bilik air. Dinding yang penuh dengan batu marmar yang bersih
berkilat itu, menampakkan wajahnya yang sugul. Sekali lagi Amyra menahan tangis
sendirian.
Dari corong pembesar suara, Amyra mula
terdengar ucapan Datin Maznah. Dia difahamkan Adeera dan Daneal akan
ditunangkan pada bulan hadapan. Mereka juga akan dilantik menjadi orang penting
dalam syarikatnya. Amyra tidak dapat tumpukan kepada ucapan Datin Maznah. Dia
sekali lagi cuba untuk keluar dari tempat persembunyiannya itu.
Amyra cuba bergaul dan duduk semeja
dengan pekerja-pekerja lain. Memaksa dirinya berbual mesra dan sesekali
tersenyum. Daneal masih mencuri pandang wajah Amyra Adrya, walaupun sesekali
terpaksa melayan bakal tunangnya. Mereka duduk semeja bersama Dato' Zakaria dan
Darin Mariam.
"Cantik sungguh Deera malam
ini," puji Datin Mariam, bakal ibu mertuanya.
"Terima kasih Aunty..." kata
Deera sambil tersenyum.
Setelah selesai amanat dan ucapan yang
disampaikan oleh Datin Maznah, semua hadirin dijemput menikmati hidangan.
Lagu-lagu sentimental menjadi suasana bertambah tenang dan romantik.